Wednesday, December 3, 2014

WARNA BUAH DAN SAYUR YANG BERBEZA MEMBERIKAN NUTRIEN YANG BERBEZA

Ramai tahu mengenai kebaikan buah dan sayur untuk membantu mengekalkan kesihatan. Malah ramai juga tahu buah dan sayur membekalkan pelbagai jenis vitamin seperti A, B6, C dan asid folat-folasin; mineral (kalium, kalsium, fosforus, zat besi dan magnesium) serta serat.



Buah dan sayur banyak membantu dalam mencegah penyakit dan meningkatkan daya tahan badan.
Tetapi tahukah anda bahawa warna pada buah dan sayur juga memberi gambaran kepada jenis nutrien yang terkandung di dalamnya. Antara bahan yang memberikan warna di dalam buah dan sayur ialah karotenoid, klorofil serta flavonoid.

Karotenoid yang terdapat dalam makanan ialah beta-karotin xantofil. Ia boleh dilihat pada buah dan sayur berwarna merah kekuningan seperti lobak merah.Selain itu, likopen xantofil pula terdapat di dalam buah dan sayur berwarna merah seperti tomato manakala xantofil pula memberikan warna kuning pada nanas.

Karotenoid, klorofil dan flavonoid yang terdapat di dalam buah dan sayur dipanggil fitokimia. Ia juga memberitahu bahawa kandungan nutrien bagi setiap makanan adalah berbeza.Warna hijau menunjukkan kandungan klorofil manakala oren memberi maksud terdapat kandungan xantofil. Kajian menyarankan sekiranya kita mengambil 400 hingga 500 gram buah dan sayur segar, ia boleh mengurangkan risiko sakit jantung, strok serta tekanan darah tinggi.

Kalium ialah salah satu mineral penting yang terdapat dalam sayur dan buah. Pengambilan kalium yang rendah boleh meningkatkan tekanan darah. Pengambilan kalium yang banyak bersama disertakan jumlah sodium mencukupi boleh membantu mencegah dan mengurangkan tekanan darah. Justeru, makanan yang kaya dengan kalium contohnya pisang, tembikai dan belimbing membantu mengurangkan risiko mendapat strok.

Jika tidak mengambil langkah pencegahan, individu yang dikenal pasti mengalami pradiabetes akan mendapat penyakit diabetes dalam tempoh 10 tahun.

Antara langkah pencegahan yang perlu dilakukan ialah mengamalkan pengambilan bijirin, sayur dan buah selain mengurangkan berat badan serta meningkatkan aktiviti fizikal. Banyak kajian menunjukkan mereka yang makan banyak sayur dan buah kurang mendapat penyakit kanser. Sayur dan buah mengandungi nutrien serta fitokimia yang bertindak sebagai antipengoksida selain mencegah tindakan karsinogen (penyebab kanser) dalam usus.

Justeru, ia dapat membantu mengurangkan kerosakan sel dalam badan yang menjadi salah satu punca kanser. Fitokimia juga boleh didapati dalam kobis, bunga kobis dan brokoli.

Waktu pengambilan

Buah sering diambil selepas makan sebagai pencuci mulut. Namun pengambilan buah selepas makan akan mengurangkan penyerapan nutrien oleh tubuh badan, justeru amalkan pengambilannya sebelum menikmati hidangan lain.

Buah dan sayur boleh diambil dengan pelbagai cara mengikut selera serta kreativiti masing-masing. Kebiasaannya, buah-buahan akan dimakan sebagai snek atau pembuka selera.

Sayur-sayuran juga boleh dimakan mentah untuk dijadikan ulam atau salad. Sesetengahnya dimasak dan dicampurkan bersama kumpulan makanan yang lain seperti ayam, daging, ikan serta kekacang.
Berdasarkan Piramid Makanan Malaysia, buah dan sayur dikategorikan dalam kumpulan makanan yang perlu dimakan dalam jumlah banyak. Untuk kekal sihat kita disarankan mengambil sekurang-kurangnya lima hidangan sehari buah dan sayur sehari.

No comments:

Post a Comment