Monday, September 22, 2014

KELEBIHAN BAKTERIA BAIK (PROBIOTIK)

Probiotik adalah istilah yang digunakan untuk 'bakteria baik' yang membantu meningkatkan tahap kesihatan seseorang yang ditemui dalam usus manusia. Probiotik adalah faktor penting kepada kesihatan yang baik.


Probiotik biasanya terdapat dalam dadih (yogurt) dan minuman kultur. Terdapat juga probiotik yang
dijual sebagai makanan tambahan dalam bentuk kapsul atau serbuk yang dibancuh. Ada dua jenis probiotik yang utama iaitu dari lactobacillus dan  bifidobacterium.



Terdapat kajian yang dilaporkan dalam jurnal perubatan pada 2013 yang merumuskan bahawa probiotik dan keseimbangan bakteria dalam usus adalah kunci kepada pelbagai jenis manfaat kesihatan yang luas.

Bukan semua bakteria berbahaya atau menyebabkan penyakit. Dalam perubatan, jika seseorang mendapat jangkitan daripada 'bakteria jahat' atau 'patogen' maka doktor akan memberikan ubat antibiotik. Ia adalah bakteria, tapi memberikan faedah kesihatan kepada yang mengambilnya.

Probiotik amat penting terutamanya dalam usus manusia. Dengan kehadiran probiotik secukupnya di dalam usus, ia akan membantu meningkatkan imuniti tubuh dengan meransang sel-sel imun menghailkan lebih banyak antibodi.

Ia juga membantu dalam proses metabolisme dan merembeskan bahan yang mengawal kitaran sel-sel dalam usus. Probiotik juga berperanan mengawal pembiakan bakteria jahat di dalam usus.
Apabila seorang bayi lahir, tiada bakteria baik yang hidup di dalam ususnya. Ketika proses kelahiran yang normal, sebahagian bakteria dalam saluran peranakan akan masuk ke dalam usus bayi dan membiak di dalamnya.

Oleh itu, bayi yang lahir secara normal adalah lebih beruntung kerana mendapat probiotik semulajadi daripada ibunya. Dalam tempoh dua minggu bakteria baik ini akan mengkolon usus bayi dan kekal ke akhir hayat.

Jika seseorang mengambil antibiotik, maka sebahagian dari bakteria baik ini akan turut sama mati, oleh itu ia perlu diganti semula untuk mengekalkan keseimbangan bakteria dalam usus. Di sinilah peranan probiotik yang mengekalkan keseimbangan bakteria dalam usus ini. Jika tidak, bakteria jahat akan membiak dengan banyak dan mengakibatkan pelbagai masalah penghadaman dan masalah kesihatan lain.

Gangguan dan ketidakseimbangan antara 'bakteria baik' dan 'bakteria jahat' (patogen) di dalam usus akan menyebabkan gangguan dalam keseluruhan sistem imuniti tubuh yang akan mengakibatkan masalah alahan teruk.


Selain susu kultur dan dadih, susu ibu dan makanan yang diperam seperti budu,belacan,cencaluk serta  tempe  juga mengandungi probiotik. Bagi ibu-ibu yang menyusukan anak, anda sebenarnya membekalkan makanan kepada probiotik dengan kandungan prebiotik yang tinggi dalam susu ibu.

Prebiotik adalah makanan kepada bakteria probiotik. Prebiotik banyak ditambah ka dalam produk susu tepung bayi dan kanak-kanak. Buah-buahan yang kaya dengan prebiotik adalah pisang iaitu bahan yang dipanggil  frukto oligo sakarida (FOS).

Selain kesihatan usus, kajian menunjukkan probiotik juga amat baik untuk pesakit diabetes. Kajian selama enam minggu kepada pesakit diabetes yang diberikan probiotik lactobacillus dan bifidobacterium mendapati paras gula berpuasa dan HbA1C yang lebih rendah berbanding dengan pesakit yang tidak mengambil probiotik ini.

Sumber : Metro Ahad

No comments:

Post a Comment