Monday, March 24, 2014

TANDA-TANDA AWAL SAKIT BUAH PINGGANG

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua. Untuk entri kali ini Diana ingin berkongsi dengan anda semua mengenai sakit buah pinggang.Diana tergerak hati untuk berkongsi mengenai sakit buah pinggang sebab setahun lepas arwah kakak Diana meninggal sebab dapat tahu kena sakit buah pinggang tahap empat.
Masa dapat tahu tu memang sudah tahap kronik dah,memang sangat kesian dekat arwah. Apa-apa pun al-fatihah untuk arwah dan semoga roh beliau ditempatkan di kalangan orang-orang beriman.

UJIAN AWAL KESAN SAKIT BUAH PINGGANG


RAMAI orang beranggapan mereka cukup sihat, walaupun bertahun-tahun tidak menjalani pemeriksaan kesihatan. Malah, tidak kurang juga beranggapan mereka tidak akan berdepan masalah kesihatan, sedangkan setiap orang sebenarnya mempunyai risiko sama untuk mengalaminya kerana kebanyakan penyakit kronik menyerang badan dalam diamSikap suka meletakkan diri dalam keadaan selesa menyebabkan ramai melepaskan peluang menjalani pemeriksaan kesihatan, walaupun ia diberikan secara percuma.

Sikap ini juga menyebabkan ada yang tidak boleh menerima hakikat apabila diberitahu mereka menghidap sesuatu penyakit serius kerana tidak mengalami sebarang gejala.

Namun, itulah sifat penyakit kronik. Kehadirannya tidak dirasai dan pesakit masih boleh menjalankan kegiatan harian tanpa masalah kerana kesan hanya timbul apabila penyakit sampai ke tahap serius.

Fenomena sama turut ditunjukkan dengan masalah kerosakan buah pinggang.Ia mengambil masa bertahun-tahun sebelum menunjukkan kesan kepada kesihatan.Bagaimanapun, anda perlu lebih berhati-hati dan segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan jika anda mengalami tanda seperti:

-Ketidakselesaan atau rasa terbakar ketika membuang air kecil.
-Darah keluar bersama-sama air kencing.
-Perubahan pada kekerapan membuang air kecil.
-Sakit belakang.
-Kerap buang air kecil, terutama pada tengah malam.
-Bengkak pada pergelangan kaki.

Semua tanda di atas menunjukkan seseorang itu mengalami masalah kerosakan buah pinggang. Biasanya gejala ini dianggap perkara biasa dan sering diketepikan, sedangkan ia petanda penting kepada masalah buah pinggang.

Risiko kegagalan buah pinggang semakin tinggi dengan pertambahan umur.Setiap tahun dianggarkan 2,400 kes baru kegagalan buah pinggang dilaporkan dan kes baru di kalangan golongan berumur antara 60 hingga 65 tahun menunjukkan peningkatan 25 peratus.

Buah pinggang bertugas menapis darah dan membuang bahan toksik, sisa buangandan air berlebihan dari badan.Kegagalan buah pinggang melakukan tugas penting ini boleh menyebabkan pesakit menemui maut jika rawatan penggantian buah pinggang tidak dilakukan. Namun, bukan mudah untuk mendapatkan buah pinggang baru dan kosnya pula sangat mahal; boleh mencecah RM300,000!

Justeru, perkara terbaik ialah menjalani pemeriksaan pengesanan. Ujiannya pula sangat mudah iaitu melalui ujian darah dan air kencing yang mengambil masa beberapa minit saja.

Selain dua ujian mudah ini, beberapa kaedah lain boleh digunakan, iaitu biopsi jarum halus dan ujian bagi tekanan darah tinggi dan kencing manis.

Kaedah terbaik untuk mengelak menanggung kos perubatan tinggi ialah kerap membuat pemeriksaan kesihatan untuk mengesan penyakit pada peringkat awal. Ujian saringan kesihatan ini sangat mudah dan keputusannya boleh diketahui segera.

Semua orang perlu menjalani pemeriksaan kesihatan ini, terutama mereka yang mempunyai sejarah atau ahli keluarga menghidap penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi, kerana mereka berisiko tinggi mendapat masalah kegagalan buah pinggang.

Kencing manis dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal juga antara punca utama kerosakan buah pinggang. Jika ini berlaku, bermakna pesakit terpaksa bergantung kepada mesin dialisis darah sepanjang hayat.

Jika anda turut mengamalkan gaya hidup tidak sihat, masih belum terlewat untuk mengubahnya.

Mulakan hidup baru dengan menjalani ujian saringan ini sebelum membuat pemeriksaan berkala sekurang-kurangnya setahun sekali.

Kegagalan buah pinggang juga boleh dicegah dengan mengamalkan:

-Pemakanan seimbang.
-Minum sekurang-kurangnya dua liter air sehari.
-Berhenti merokok.
-Makan ubat selepas mendapat nasihat doktor. Paling penting, elakkan ubat yang tidak perlu termasuk ubat untuk menguruskan badan.
-Kekalkan berat badan seimbang.
-Bersenam setiap hari sekurangnya-kurangnya 30 minit.


No comments:

Post a Comment